Kerajaan Fokus Salur Vaksin Dengan Segera, Seramai Mungkin

RABU, 19 MEI 2021

SIBU: Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi, Dr. Annuar Rapaee menegaskan fokus kerajaan sekarang adalah untuk melakukan pemberian vaksin secara cepat dan seramai mungkin dalam masa terdekat.

Pada masa sama, Menteri Muda Perumahan dan Kesihatan Awam Sarawak merangkap ADUN Nangka itu turut menyeru masyarakat untuk memainkan peranan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan terus menerapkan norma baharu dalam kehidupan seharian mereka untuk memutuskan jangkitan Covid-19.

Beliau berkata demikian semasa meninjau dan memberi penerangan mengenai sistem pendaftaran dan aliran kerja Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Fasa 3 Daerah Sibu di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Stadium Tertutup Sibu yang dibuat secara langsung menerusi facebook.

Dr. Annuar turut menyumbang empat unit alat pengukur tekanan darah kepada PPV di Stadium Tertutup Sibu.

Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Fasa 3 Daerah Sibu untuk warga emas telah diadakan dengan jayanya dari 18 hingga 19 Mei 2021.

Bagaimanapun, sasaran 1980 penerima pada program tersebut gagal dicapai ekoran sebilangan penerima tidak dapat hadir kerana tahap kesihatan yang kurang mengizinkan.

Penerima rata-ratanya warga emas berusia 70 tahun ke atas menerima dos pertama vaksin jenis Pfizer-BioNTech. – EDISI UKAS

Share

add comment