Kerajaan Sarawak Beli 500,000 Dos Vaksin COVID-19, Percepatkan Program Vaksinasi Untuk Rakyat

RABU, 19 MEI 2021

BINTULU: Kerajaan Sarawak akan membeli sebanyak 500,000 dos vaksin COVID-19 jenis Sinovac bagi fasa pertama untuk rakyat di negeri ini.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, ia adalah susulan kebenaran daripada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas mengadakan pertemuan dan perbincangan baru-baru ini.

Menurut beliau, pembelian dos vaksin COVID-19 itu adalah sebagai usaha mempercepatkan program vaksinasi di Sarawak sekaligus mengekang penularan pandemik COVID-19.

“Saya telah berjumpa dengan Perdana Menteri dua minggu lepas dan kerajaan Sarawak telah mendapat kebenaran daripada kerajaan Persekutuan untuk membeli vaksin dan kita berterima kasih kepada beliau (Perdana Menteri).

“Kerajaan Sarawak juga akan membeli vaksin untuk meneruskan fasa kedua nanti,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Sesi Taklimat Khas Situasi Pandemik Covid-19 di Bahagian Bintulu di sebuah hotel di sini pada Rabu.

Hadir sama, Menteri Utiliti Sarawak merangkap Menteri Bertanggungjawab Bagi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Bintulu, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Duta Khas Perdana Menteri ke Republik Rakyat China yang juga Ahli Parlimen Bintulu, Dato Seri Tiong King Sing, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak, Dato Sri Prof Dr Sim Kui Hian, Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Intergriti dan Ombudsman), Datuk Talib Zulpilip, Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Amar Jaul Samion, Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Undang Undang dan Adat Bumiputera), Datuk John Sikie Tayai, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, Dr Chin Zin Hing, Pesuruhjaya Polis Sarawak, Dato Aidi Ismail, Residen Bahagian Bintulu, Jack Aman Luat dan pegawai-pegawai lain.

Sementara itu, Ketua Menteri memberitahu, Perdana Menteri turut memberi kelulusan supaya hospital swasta yang digazet dibenarkan untuk memberikan suntikan vaksin COVID-19 kepada orang ramai khususnya penduduk di kawasan bandar.

“Pihak korporat juga boleh berhubung dengan hospital yang telah diluluskan dan hospital ini akan memberikan vaksin kepada kakitangan syarikat tersebut termasuk syarikat industri dan perladangan,” katanya. -EDISI UKAS

Share

add comment