RABU, 19 MEI 2021
MIRI: Seramai 206 penduduk di Long Jegan yang juga merupakan kontak rapat kepada kontak rapat pesakit positif COVID-19 dihantar ke pusat kuarantin di Miri.
Menteri Bertanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri Datuk Lee Kim Shin dalam kenyataan media pada Rabu, mengucapkan terima kasih kepada petugas yang menjayakan penghantaran penduduk ke pusat kuarantin dengan menggunakan lori dan bas yang disediakan JPBB Miri.
“Kita mengucapkan terima kasih kepada semua agensi, khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Miri dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Miri yang telah bertungkus lumus membawa keluar kontak rapat di Long Jegan dengan menaiki lori dan bas yang mengambil masa selama hampir empat jam perjalanan sebelum sampai ke pusat kuarantin di Miri,” katanya.
Bahagian Miri kini telah mempunyai dua daerah berstatus Zon Hijau iaitu Daerah Telang Usan dan Daerah Marudi.
Dalam pada itu, Datuk Lee yang juga Menteri Pengangkutan Sarawak mengesahkan semua Pegawai Daerah di Bahagian Miri telah diminta untuk memantau dengan ketat pematuhan SOP PKPB di rumah-rumah panjang dan kampung-kampung seliaan masing-masing.
Katanya, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) diminta untuk memastikan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) melibatkan aktiviti keramaian.
“Saya meminta kerjasama semua KMKK dan Tuai Rumah untuk memastikan segala SOP pencegahan COVID-19 khasnya pengkebumian dan aktiviti-aktiviti lain yang digariskan dalam SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKPB) dipatuhi,” katanya.
Pasukan penguatkuasa Daerah Miri akan mengadakan lebih banyak rondaan dan melakukan pemantauan secara ketat pematuhan SOP PKPB dengan mengenakan kompaun kepada mana-mana pihak yang ingkar SOP.
Bahagian Miri pernah berada dalam Zon Hijau selama 172 hari pada tahun lepas dan JPBB sentiasa berusaha untuk mengembalikan Bahagian Miri menjadi Zon Hijau seperti sebelum ini.
Justeru, kerjasama orang ramai agar lebih berhati-hati dan bersama memerangi pandemik ini dengan mengingatkan masyarakat agar sentiasa mematuhi SOP dan elakkan 3C iaitu jauhi kawasan yang sesak (crowded place), elakkan kawasan yang sempit (confined space) dan elak sembang atau bertutur dengan jarak yang dekat (close conversation) dan amalkan 3W merangkumi kerap mencuci tangan dengan air dan sabun (wash), memakai pelitup separuh muka di tempat awam (wear), serta mengikuti nasihat yang digariskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (warn). -EDISI UKAS