PBB Cawangan Engkilili Sumbang Bakul Makanan Kepada Rumah Panjang Empading, Nanga Bunu Skrang

RABU, 19 MEI 2021

ENGKILILI: Prihatin dengan nasib yang menimpa penduduk di Rumah Panjang Empading, Nanga Bunu Skrang Engkilili yang menjalani kuarantin sejak 12 Mei lepas, Ahli Jawatankuasa Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Engkilili telah menyampaikan sebanyak 37 sumbangan bakul makanan kering.

Sumbangan tersebut telah diserahkan kepada 37 Ketua Isi Rumah (KIR) di rumah panjang tersebut pada Isnin.

Menerusi sumbangan berkenaan, ia dapat  membantu meringankan bebanan mereka semasa dalam tempoh kuarantin.

Dalam pada itu, segala pergerakan mereka sentiasa diawasi oleh petugas barisan hadapan supaya tidak keluar daripada kawasan larangan bagi memutuskan penularan rantaian COVID-19.

Di samping itu, penduduk rumah panjang terbabit juga dikehendaki sentiasa patuh kepada Prosedur Operasi Prosedur (SOP) yang telah ditetapkan sepanjang mereka dalam masa kuarantin 14 hari.

Penduduk rumah panjang tersebut juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada AJK PBB Cawangan Engkilili dan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) kerana telah memberi sumbangan itu.-EDISI UKAS