RABU, 19 MEI 2021
SRI AMAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga Simoi Peri menyangkal dakwaan beliau memotong “queue” penerima vaksin COVID-19 bagi Orang Kurang Upaya (OKU) dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Stadium Perpaduan Negeri Sarawak seperti yang tular di beberapa platform media sosial pada Rabu.
Katanya, penyebaran berita itu adalah palsu dan sama sekali tidak benar yang disifatkannya sebagai mencemarkan imej dan kreadibiliti sebagai wakil rakyat.
“Saya menyangkal sepenuhnya penyebaran berita palsu dan tidak benar itu yang secara jelas cuba untuk mencemarkan imej saya sebagai wakil rakyat.
“Bagaimana saya boleh berada di Stadium Perpaduan Negeri Sarawak pada hari ini (Rabu) sedangkan ketika ini saya berada di Sri Aman.
“Malah, saya telah lama berada di Sri Aman bagi menjalankan tugasan saya sebagai wakil rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lingga,” katanya ketika diminta mengulas mengenai penyebaran berita itu pada Rabu.
Tular di media sosial ramai golongan kenamaan dan ahli keluarga yang memotong “queue” di PPV Stadium Perpaduan Negeri sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati orang ramai.
Jelas Simoi lagi, beliau sebelum ini telah pun selesai menerima suntikan vaksin COVID-19 di Sri Aman dan bukannya di Stadium Perpaduan Negeri Sarawak, Kuching seperti yang tular di media sosial.
“Saya telah pun mendapat suntikan vaksin pada 15 Mac 2021 untuk dos pertama dan dos kedua pada 5 April 2021.
“Kedua-duanya diambil di PPV Dewan Suarah Sri Aman,” jelasnya.
Beliau percaya penyebaran berita palsu ini mempunyai sifat politik memandangkan penggal DUN Sarawak akan berakhir bulan Jun ini. -EDISI UKAS