Tiada Lesen Sabung Ayam Sempena Hari Gawai Dayak Tahun Ini: KM Sarawak

RABU, 19 MEI 2021

BINTULU: Kerajaan Sarawak memutuskan untuk tidak mengeluarkan lesen sabung ayam sempena perayaan Hari Gawai Dayak pada tahun ini.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, beliau telah mengeluarkan arahan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak dan Pejabat Residen untuk tidak memberikan lesen berkenaan sekiranya ada pihak yang memohon.

Tegas beliau, keputusan itu diambil sebagai langkah berjaga-jaga dalam usaha kerajaan Sarawak membendung penularan wabak COVID-19.

“Saya minta maaf, betul-betul minta maaf, saya telah mengarahkan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri dan Pejabat Residen tidak mengeluarkan lesen sabung ayam.

“Semua rakyat di negeri ini perlu berkorban untuk tidak meraikan perayaan Hari Gawai Dayak pada tahun ini,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Sesi Taklimat Khas Situasi Pandemik Covid-19 di Bahagian Bintulu di sebuah hotel di sini pada Rabu.

Hadir sama, Menteri Utiliti Sarawak merangkap Menteri Bertanggungjawab Bagi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Bintulu, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Duta Khas Perdana Menteri ke Republik Rakyat China yang juga Ahli Parlimen Bintulu, Dato Seri Tiong King Sing, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak, Dato Sri Prof Dr Sim Kui Hian, Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Intergriti dan Ombudsman), Datuk Talib Zulpilip, Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Amar Jaul Samion, Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Undang Undang dan Adat Bumiputera), Datuk John Sikie Tayai, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, Dr Chin Zin Hing, Pesuruhjaya Polis Sarawak, Dato Aidi Ismail, Residen Bahagian Bintulu, Jack Aman Luat dan pegawai-pegawai lain.

Dalam pada itu, Ketua Menteri turut menggesa ketua masyarakat dan ketua kaum Dayak melaksanakan langkah-langkah Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat agar wabak COVID-19 tidak menular ketika perayaan Gawai kelak.

Beliau turut memuji usaha Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Bintulu dalam melaksanakan pelbagai langkah untuk menangani penularan pandemik berkenaan di bahagian itu.

“Beberapa langkah telah dibuat oleh pihak JPBB Bintulu bagi membolehkan kita dapat mengawal angka positif COVID-19 ini termasuklah melaksanakan SOP yang agak ketat,” katanya. -EDISI UKAS

Share

add comment