61.4 Peratus Atau 158,963 Masyarakat Di Bahagian Miri Telah Mendaftar Sebagai Penerima Vaksin COVID-19

KHAMIS, 20 MEI 2021

MIRI: Setakat 18 Mei 2021, sebanyak 61.4 peratus atau 158,963 penduduk di Bahagian Miri telah mendaftar sebagai penerima vaksin COVID-19 menerusi aplikasi MySejahtera, laman web dan panggilan telefon.

Menteri Bertanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri Datuk Lee Kim Shin dalam kenyataan media pada Khamis berkata, mereka ini terdiri daripada keseluruhan populasi penduduk di Bahagian Miri yang berumur 18 tahun ke atas.

“Kepentingan mengambil vaksin COVID-19 ini adalah untuk mengawal penularan penyakit COVID-19. 

“Apabila ramai penduduk mengambil suntikan vaksin dan membentuk antibodi, ia akan memberikan imuniti berkelompok (herd immunity) yang cukup untuk mencegah kejadian penyakit COVID-19 yang lebih teruk dan melindungi semua lapisan masyarakat secara umumnya,” katanya selepas menyaksikan penyerahan sumbangan tiga alatan perubatan Vital Signs Monitor kepada Pengarah Hospital Miri Dr. Jack Wong Siew Yu pada Khamis. 

Mengulas mengenai sumbangan peralatan perubatan Vital Signs Monitor ini, beliau yang juga Menteri Pengangkutan Sarawak mengucapkan terima kasih kepada penderma tersebut yang sebelum ini turut memberikan sumbangan peralatan perubatan kepada Hospital Miri.

“Diharapkan selepas ini akan ada lagi pihak atau individu perseorangan yang tampil memberikan sumbangan sebagai salah satu usaha CSR mereka bagi membantu Hospital Miri,” ujarnya. 

Sebelum ini sebuah syarikat swasta yang enggan dinamakan telah turut tampil menunaikan usaha Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dengan memberikan sumbangan derma berupa 13 unit table top water dispenser, dua unit floor standing water dispenser, tiga set Reserve Osmosis Water System dan 15 set mengandungi 5-Gallon RO Bottle kepada Hospital Miri pada Sabtu lepas. 

Syarikat itu juga pernah menyumbangkan lima unit Philips Respirator untuk kegunaan Hospital Miri. -EDISI UKAS

Share

add comment