Kerjasama Perlu Untuk Lancarkan Proses Pengambilan Vaksin COVID-19

KHAMIS, 20 MEI 2021

KUCHING : Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Undang-Undang, Hubungan Kerajaan Persekutuan-Negeri dan Pemantauan Projek), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samariang mempengerusikan mesyuarat secara atas talian berhubung status terkini penerima vaksin COVID-19 di kawasan Samariang, pada Khamis.

Perbincangan secara santai tersebut dilakukan bersama Biro Kebajikan PBB Cawangan, Pergerakan Wanita PBB Cawangan dan Penghulu-Penghulu DUN Samariang.

Prihatin dengan keselamatan penduduk di kawasannya, Datuk Sharifah Hasidah berharap agar mana-mana individu yang masih belum jelas mengenai pendaftaran untuk pengambilan vaksin berkenaan, dapat diberikan bantuan dari segi penjelasan mahupun penerangan lanjut mengenainya, dalam usaha mengekang penularan COVID-19.

Selain itu jelasnya, kerjasama semua pihak terhadap petugas kesihatan semasa Program Imunisasi COVID-19 dijalankan juga amat diperlukan supaya proses pemberian vaksin dapat dijalankan dengan lancar.

Dalam masa yang sama, beliau berharap segala permasalahan yang berlaku dapat dimaklumkan terus kepada beliau untuk diselesaikan secepatnya. -EDISI UKAS

Share
0