MBM Praktikan Pembaharuan Dalam Operasinya Dengan Adaptasi Norma Baharu

KHAMIS, 20 MEI 2021

MIRI: Penularan pandemik COVID-19 yang berlaku ketika ini telah menjejaskan sektor awam dan swasta termasuk Majlis Bandaraya Miri (MBM). 

Datuk Bandaraya Miri Adam Yii Siew Sang berkata, MBM turut mempraktikan beberapa pembaharuan dalam operasinya dengan mengadaptasi norma baharu 

Katanya, MBM telah melakukan beberapa pembaharuan dan perubahan untuk meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kami untuk memenuhi harapan tinggi warga Miri.

“MBM telah menubuhkan Unit Kontrak dan Perolehan Bebas untuk mengendalikan semua kontrak dan perolehan.

“Menubuhkan Unit Penguatkuasan Bandar Miri untuk membantu MBM mengenal pasti masalah secara proaktif dengan melakukan rondaan dan pemantauan. 

“Dan, menaik taraf Unit Perhubungan Awam dalam usaha meningkatkan interaksi dan perhubungan dengan masyarakat Miri,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap secara maya Sambutan Virtual Ulang Tahun Ke-16 Majlis Bandaraya Miri 2021 pada Khamis. 

Sambutan Hari Bandaraya Miri pada tahun ini disambut sederhana dan diadakan secara maya ekoran pandemik COVID-19. 

Jelas Adam Yii lagi, MBM melahirkan rasa gembira di atas kepercayaan Ketua Menteri Datuk Patinggi Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg yang menjadikan Bandaraya Miri sebagai perintis kepada konsep Bandar Pintar atau Smart City. 

“Di bawah projek konsep Bandar Pintar, terdapat 10 model yang dilaksanakan iaitu Miri CARES, Pelancongan Miri, Lampu Lalu Lintas Pintar, Bas Pintar, Lori Pintar, Saliran Pintar, Taman Selamat, Bandar Selamat, Papan Tanda Digital dan eLA 2. 

“Semua model ini telah dilaksanakan dan terus berjalan. 

“MBM akan melihat kualiti transformasi dan kemudahan yang lebih baik di bawah Program Miri Bandaraya Pintar Pelan Strategik 5 Tahun MBM dari tahun 2021 hingga 2025,” jelasnya. 

MBM juga akan memberi tumpuan kepada isu-isu alam sekitar dan pelaksanaan pemerintahan dan pentadbiran digital.

Mengenai Bangunan MBM, pembinaannya ditangguhkan sehingga 30 Jun 2021 berbanding tarikh asal siap pada 24 Disember 2020 ekoran penularan wabak pandemik COVID-19. 

Apabila siap kelak akan menjadi mercu tanda baharu bagi Bandaraya Miri. -EDISI UKAS

Share

add comment