Projek MRP Di SMK Tebakang, Ubah Suai 9 Kelas

KHAMIS, 20 MEI 2021

SERIAN: Menteri Pendidikan Sains Dan Penyelidikan Teknologi Sarawak, Datuk Amar Michael Manyin Jawong turun padang menyerahkan cek Projek Kecil Luar Bandar (MRP) kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tebakang pada Rabu.

Peruntukan khas bernilai RM30,000 itu bertujuan untuk mengubah suai sembilan buah kelas sebagai kelas perintis yang bakal dilengkapi dengan peralatan pengajaran moden seperti penggunaan komputer riba, projektor dan skrin.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu memberitahu, dengan kelengkapan itu, ia bakal menjadikan suasana proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas menjadi lebih seronok dan menarik.

“Tambahan, guru tidak perlu lagi menggunakan kapur atau ‘maker’ secara maksima.

“Yang penting ketika ini guru sendiri perlu mahir menguasai penggunaan komputer dan internet,” katanya di majlis tersebut di Pejabat Pentadbiran SMK Tebakang di sini. -EDISI UKAS

Share
0