7 Kes COVID-19 VOC Dikesan Di Kuching

JUMAAT, 21 MEI 2021

KUCHING: Institut Kesihatan dan Perubatan Komuniti (IKPK) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) pada Khamis melaporkan terdapat tujuh kes Varian Afrika Selatan (VOC), B.1.351 dikesan di daerah Kuching.

Menurut Ketua Institut Kesihatan dan Perubatan UNIMAS, Prof. Dr David Parera dalam satu kenyataan, pihaknya juga mengesan kes-kes tambahan V3 P3 di Samarahan dan Sibu, manakala varian B.1.530 dilihat dominan di Miri dan Kuching.

Katanya, menerusi data juga menunjukkan varian B.1.466.2 ‘Pasai’ terus tersebar di seluruh Sarawak.

Menjelas lanjut, Dr David berkata, memandangkan varian SARS-COV-2 telah dikesan di Sarawak, sehingga kini makmal IKPK meneruskan usaha menyelesaikan penjujukan genom, yang mana lebih daripada 600 sampel dan data urutan genom telah dikongsi dalam pangkalan data urutan SARS-COv-2, global GISAID.

Baru-baru ini juga ujarnya, IKPK melaporkan kajian pengawasan varian yang dilakukan telah mengenal pasti varian B.1.470 dan B.1.524 sebagai varian yang tersebar dalam gelombang ketiga (Sept – Nov, 2020) manakala varian B.1.470, B.1.524 dan B.1.466.2 (kelompok Pasai), tersebar semasa gelombang keempat (Disember 2020 dan seterusnya) di Sarawak.

Dr David menambah, mutasi-mutasi ini telah dikaitkan dengan pelepasan imun daripada perlindungan jangkitan vaksin dan perlindungan jangkitan semula jadi.

Oleh yang demikian, dengan penemuan baharu varian SARS-COV-2 ini, beliau menekankan orang ramai untuk terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP), terutamanya pemakaian pelitup muka, menjaga kebersihan diri dan mengamalkan penjarakan fizikal, termasuk mendaftar diri untuk divaksinasi. -EDISI UKAS

Share

add comment