JUMAAT, 21 MEI 2021
SPAOH: Penduduk di Kampung Hulu, Spaoh, Betong yang sedang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari menerima bantuan makanan sumbangan ADUN Bukit Saban, Datuk Amar Douglas Uggah dan Ahli Parlimen Betong, Datuk Robert Lawson Chuat.
Bantuan kepada 86 keluarga di kampung itu merupakan tambahan kepada bantuan yang telah disalurkan oleh pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Betong melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat Bahagian Betong sebelum ini.
Penyerahan bantuan disempurnakan pada Jumaat oleh Pegawai Pejabat Kebajikan Masyarakat, Ahmad Fazeli Ali bagi pihak kedua-dua wakil rakyat tersebut.
Sementara itu, Kaunselor Abang Suhordie Abang Zaini yang mewakili para ketua kampung dan penduduk merakamkan penghargaan kepada kedua wakil rakyat itu di atas keprihatinan dengan keperluan para penduduk yang kini sedang dikenakan ‘lockdown’ hingga 1 Jun depan.
Ia rentetan pengesanan Kluster Hulu Spaoh yang telah diisytiharkan pada 19 Mei lepas. – EDISI UKAS