JPBB Miri Tidak Benarkan Aktiviti Pulang Kampung Merentas Zon Sempena Gawai

JUMAAT, 21 MEI 2021

MIRI: Orang ramai khususnya masyarakat Dayak di Bahagian Miri diminta untuk tidak pulang ke kampung atau rumah-rumah panjang bagi menyambut perayaan Hari Gawai Dayak yang akan menjelang tidak lama lagi. 

Menteri Bertanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri (JPBB) Miri Datuk Lee Kim Shin dalam kenyataan media pada Jumaat berkata, ini adalah penting selaras dengan garis panduan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ‘Circuit Breaker’ seperti yang telah diumumkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak yang akan dilanjutkan sehingga 7 Jun 2021 di seluruh negeri selain syarat-syarat SOP COVID-19 yang diperketatkan seperti yang telah dikuatkuasakan pada 12 Mei 2021. 

“JPBB Miri amat serius mengenai perkara ini. Kita tidak mahu COVID-19 sekali lagi merebak ke luar bandar atau ke kawasan pedalaman kerana ini akan menjejaskan usaha kita memutuskan rantaian pendemik ini”, katanya. 

Tambah Datuk Lee yang juga merupakan Menteri Pengangkutan Sarawak, masyarakat Iban yang menyambut Hari Gawai digesa untuk mematuhi SOP Gawai yang ditetapkan kerajaan. 

“Selain itu, orang ramai juga dinasihatkan agar mematuhi SOP Sambutan Hari Gawai Semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) Dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dikemaskini 19 Mei 2021 yang telah dikeluarkan oleh Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) Majlis Adat Istiadat Sarawak (MAIS).

“Tindakan orang ramai dari kawasan urban (bandar) tidak pulang ke rumah-rumah panjang (kampung) bagi tempoh ini amat penting. 

“Lindungi ahli keluarga kita yang terdiri daripada warga emas, kumpulan yang mempunyai comorbid seperti darah tinggi, kencing manis dan sebagainya selain golongan Orang Kurang Upaya (OKU) serta ahli keluarga dan anak-anak kecil yang masih belum lagi divaksin daripada terdedah kepada jangkitan COVID-19,” tambahnya. 

JPBB Miri sekali lagi mengingatkan orang ramai untuk terus kekal waspada dan sentiasa mematuhi aspek SOP pencegahan COVID-19 secara ketat. -EDISI UKAS

Share

add comment