Kerajaan Sarawak Suntik RM1.5 Juta Pacu Sektor Pertanian Di Kuala Rajang

JUMAAT, 21 MEI 2021

SARIKEI: Kerajaan Sarawak telah menyuntik peruntukan sebanyak RM1.5 juta untuk memacu sektor pertanian di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Rajang.

Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang, Datu Len Talif Salleh berkata peruntukan dalam bentuk peralatan pertanian itu akan diagihkan kepada penduduk di kawasannya dalam masa terdekat.

“Kita telah berbincang dengan pegawai dari Jabatan Pertanian mengenai dengan bantuan pertanian kepada warga N41 Kuala Rajang di mana kerajaan negeri telah memperuntukkan RM1.5 juta untuk warga di kawasan ini terlibat dalam pertanian.

“Peruntukan ini sudah siap dan akan diagihkan dalam bentuk peralatan pertanian dan akan diagihkan dalam masa terdekat,” katanya ketika ditemubual selepas menyerahkan sumbangan peralatan perlindungan diri (PPE) kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sarikei pada Jumaat.

Menyentuh mengenai Projek Naiktaraf Pantai Belawai, Datu Len berkata projek yang hampir siap itu bakal menjadi tumpuan pelancong yang berkunjung di kawasan itu kelak.

Beliau turut berasa gembira selepas projek jalan di kawasan Sebayang kini sudah siap sepenuhnya meskipun berlaku sedikit kelewatan.

Residen Bahagian Sarikei, Felicia Tan menerima sumbangan PPE itu yang berupa 100 unit ‘Protective Clothing-Hooded Coverall’, 20 Kotak ‘3 Ply Surgical Face Mask’ dan 50 Kotak ‘4 Ply Surgical Face Mask’ di Dewan Suarah Sarikei yang dijadikan sebagai Pusat Pemberian Vaksin.

Semua peralatan ini akan dapat digunakan oleh 500 orang petugas barisan hadapan sebagai tambahan kepada sumbangan sama pada bulan Mac lepas.

Sumbangan sebegini akan sentiasa dilakukan berikutan situasi Covid-19 pada masa kini masih membimbangkan. – EDISI UKAS

Share

add comment