92 Kes Sepanjang Pelaksanaan SHMMP Hari Raya Puasa 2021

JUMAAT, 21 MEI 2021

KUCHING: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa (HRP) 2021 selama 30 hari bermula 21 April dan berakhir 20 Mei lepas.

Menurut Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri KPDNHEP Negeri Sarawak, Mogan Arumugam dalam kenyataan media yang dikeluarkan pada Jumaat, sepanjang pelaksanaan skim tersebut, KPDNHEP Negeri Sarawak telah membuat pemeriksaan sebanyak 6,028 premis perniagaan dan telah menghasilkan 92 kes.

Jelas beliau, kesalahan tersebut adalah seperti menjual barangan melebihi harga maksimum barang harga terkawal di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 sebanyak lapan kes, gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal sebanyak 76 kes dan gagal mempamerkan tanda harga atau senarai harga bagi barangan yang dijual di bawah AKHAP 2011 sebanyak lapan kes.

Tambahnya lagi, nilai rampasan adalah sebanyak RM14,750.40 dan jumlah kompaun sebanyak RM11,000.

Seramai 176 Pegawai Penguat Kuasa dan 101 Pegawai Pemantau Harga KPDNHEP Negeri Sarawak berada di lokasi-lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai membeli-belah seperti pasar awam, pasar tani dan pasaraya untuk menjalankan pemeriksaan dan pemantauan.

Ujar Mogan lagi, berdasarkan pemantauan KPDNHEP Negeri Sarawak sepanjang pelaksanaan SHMMP Hari Raya Puasa 2021, kebanyakan peniaga menjual barangan harga terkawal pada harga yang lebih rendah daripada harga maksimum yang telah ditetapkan.

Untuk rekod, SHMMP dilaksanakan sebagai satu usaha dan tanda komitmen Kerajaan untuk mengurus sebarang risiko kenaikan harga yang tidak terkawal di pasaran akibat permintaan yang meningkat menjelang dan semasa musim perayaan dan memastikan pengguna boleh menikmati harga barangan keperluan yang berpatutan.-EDISI UKAS

Share

add comment