JUMAAT, 21 MEI 2021
MIRI: Pembinaan Bangunan Tambahan Hospital Miri dijangka akan mengurangkan kesesakan hospital selain menambah kepakaran dan subkepakaran sedia ada.
Di samping itu, sekarang ini terdapat 45 kepakaran dan subkepakaran di Hospital Miri, dan bilangan ini perlu ditambah berdasarkan bilangan penduduk yang semakin meningkat.
Bagaimanapun, Menteri Bertanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri Datuk Lee Kim Shin berkata, dalam projek ini tidak ada tempat kereta dan keadaan ini sangat diperlukan untuk kemudahan orang ramai.
“Saya minta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk memasukan satu projek tambahan iaitu Projek Pembinan Multi-Storey Carpark iaitu tempat letak kereta bertingkat.
“Selain daripada itu, projek ini akan juga menghadapi kesesakan lalu lintas. Jalan-jalan di sekitar hospital ini perlu dilebarkan kepada empat lorong yang merupakan satu keperluan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas mengadakan lawatan ke Projek Pembinaan Bangunan Tambahan Hospital Miri pada Khamis.
Projek Pembinaan Bangunan Tambahan Hospital Miri bermula 25 Jun 2020 dan dijangka siap pada 18 Oktober 2023 dengan kini telah 4.10 peratus siap dengan kos keseluruhan sebanyak RM289,200,000.
Bangunan Tambahan Hospital Miri akan menempatkan 328 katil yang menempatkan perkhidmatan kecemasan, wanita (Obstetric and Gynaecology) dan kanak-kanak (Paediatric) akan dipindah daripada blok lama ke blok baru.
Selain itu, perkhidmatan subkepakaran yang baru akan dibawa masuk dengan ketika ini masih dalam perancangan.
Terdahulu, Datuk Lee yang juga Menteri Pengangkutan Sarawak mahu Hospital Miri dinaik taraf setaraf dengan hospital di peringkat negeri sebaik sahaja ianya siap nanti.
“Supaya Hospital Miri ini dapat dipertingkatkan menjadi hospital untuk Wilayah Utara Sarawak iaitu setaraf dengan hospital-hospital di peringkat negeri di Semenanjung Malaysia,” ujarnya.
Beliau juga berharap Hospital Sibu dan Hospital Bintulu yang sedia ada di Sarawak akan dapat dinaik taraf setanding dengan hospital di peringkat negeri sekaligus mengurangkan kebergantungan kepada Hospital Umum Sarawak dan memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.
Turut hadir sama Pengerusi JPBB Miri merangkap Pemangku Residen Bahagian Miri Abdul Aziz Mohamad Yusuf dan Pengarah Hospital Miri Dr Jack Wong Siew Yu. -EDISI UKAS