JUMAAT, 21 MEI 2021
MIRI: Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM) Daerah Miri telah menyampaikan cecair pensanitasi tangan atau Hand Sanitiser kepada agensi-agensi kerajaan dan pegawai Pendidikan Daerah Miri, Subis dan Baram.
Naib Pengerusi Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM) Daerah Miri Datuk Lee Kim Shin dalam kenyataan media pada Jumaat berkata penyampaian cecair sanitasi diadakan secara bergilir pada 18 Mac dan 20 Mei 2021 kepada 31 wakil agensi-agensi Kerajaan dan pegawai Pendidikan Daerah Miri, Subis dan Baram yang mewakili 185 sekolah-sekolah di kawasan Daerah Miri, Subis dan Baram.
“Cecair pensanitasi tangan ini ialah satu sumbangan daripada Syarikat SARAYA, sebuah syarikat di Jepun.
“Sebanyak 13,640 botol cecair pensanitasi tangan telah disumbangkan oleh syarikat tersebut kepada Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Daerah Miri.
“Pada 8 Januari 2021 yang lepas, PBSMM Daerah Miri juga telah menyerahkan sebanyak 1,000 botol cecair pensanitasi tangan kepada institusi seperti tadika, rumah orang tua, rumah anak-anak yatim dan beberapa agensi kerajaan,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Bertanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri dan Menteri Pengangkutan Sarawak merakamkan ribuan terima kasih kepada Syarikat SARAYA atas inisiatif dan misi kemanusiaan dalam mencegah COVID-19 dengan menyumbang sejumlah cecair pensanitasi kepada agensi-agensi Kerajaan dan sekolah di Bahagian Miri.
Hadir sama Pemangku Residen Bahagian Miri merangkap Pengerusi JPBB Miri Abdul Aziz Mohd Yusuf, Pengarah Hospital Miri Dr. Jack Wong Siew Yu, Naib Pengerusi II Liza Chai dan Pengurus Pentadbiran PBSM Daerah Miri Lui Yee Lan. -EDISI UKAS