Penduduk Uma Balui Liko, Sg. Asap, Belaga Terima Bantuan Makanan

JUMAAT, 21 MEI 2021

BELAGA: Penduduk Uma Balui Liko, Sg. Asap, Belaga yang telah diarahkan untuk menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (lockdown) telah menerima bantuan makanan pada Khamis.

Penempatan yang melibatkan sebanyak 46 buah pintu dengan jumlah penduduk seramai 165 orang telah diarahkan untuk menjalani ‘lockdown’ mulai 16 sehingga 29 Mei 2021 berikutan satu kes positif COVID-19 telah dikesan di situ.

Sebanyak 93 pek bantuan makanan telah diagihkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Belaga dengan kerjasama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Belaga termasuk 11 bungkus lampin pakai buang kanak-kanak dan lapan paket susu tepung kanak-kanak.

Penghantaran bantuan kepada penduduk yang terlibat adalah salah satu usaha kerajaan melalui JKM untuk membantu penduduk yang terjejas  akibat daripada arahan ‘lockdown’ bagi membendung penularan dan penyebaran wabak COVID-19 kepada komuniti yang lain.

Ini membuktikan bahawa kerajaan amat prihatin dan mengambil berat akan keperluan rakyat yang terpaksa melalui kesukaran akibat daripada pandemik berkenaan.

Dengan adanya bantuan itu, diharap ia dapat memberi semangat baru dan sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban penduduk sepanjang mereka menjalani perintah ‘lockdown’.- EDISI UKAS

Share

add comment