JUMAAT, 21 MEI 2021
LIMBANG: Hujan lebat berterusan pada pagi 9 Mei lalu telah menyebabkan berlakunya kejadian tanah runtuh di Kampung Bukit Kota.
Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail telah mengadakan lawatan ke kawasan tanah runtuh di Kampung Bukit Kota pada Khamis.
Katanya, beliau telah meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) mengambil langkah segera terutamanya dengan memasang kanvas di kawasan lereng bukit yang runtuh memandangkan sekarang adalah musim hujan di utara Sarawak.
Pemasangan kanvas dilihat perlu untuk menstabilkan kawasan runtuhan daripada terus susur apabila hujan lebat di samping untuk menjaga keselamatan pengguna jalan raya.
“Kita harap JKR yang mempunyai kuasa yang mempunyai kawasan ini supaya diletakkan kanvas untuk sementara itu untuk diadakan penyelesaian jangka panjang.
“Begitu juga tanah runtuh di Kampung Pahlawan ini yang berdekatan dengan sebuah rumah tapi kita sudah membuat penyelesaian awal meletakkan kanvas. Terima kasih kepada JKR,” katanya.
Terdahulu, beliau telah melawat kejadian tanah runtuh di Kampung Pahlawan yang melibatkan rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) milik Rosita Siamit.
Dalam kejadian tersebut di Jalan Buangsiol yang menjadi laluan utama masyarakat di Limbang terpaksa ditutup sementara waktu untuk kerja-kerja pembersihan tanah dan pokok tumbang yang dilakukan oleh pihak bomba dan agensi-agensi yang berkaitan.
Dalam lawatan itu juga, Datuk Dr Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota memberitahu beliau akan mencari jalan penyelesaian jangka panjang bagi menangani kejadian tanah runtuh di Daerah Limbang ini.
“Di dua-dua kawasan ini, saya akan mengemukakan permohonan untuk penyelesaian jangka panjang.
“Bukan itu saja, kita juga akan meminta peruntukan untuk kawasan-kawasan yang berpotensi untuk tanah runtuh terutamanya di sepanjang Jalan Buangsiol, Jalan Pandaruan, Jalan Kubong dan sebagainya, dan juga kawasan perumahan serta kawasan sekolah,” ujarnya.
Ujar beliau lagi, memandangkan keadaan hujan dan cuaca yang tidak menentu ini, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) diaktifkan bagi menangani isu banjir ini.
Sehingga kini, hanya sebuah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka di Trusan Lawas dan turut meminta PPS Medamit bersedia untuk dibuka memandangkan keadaan banjir yang masih belum reda.
Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga telah minta bersedia untuk menyalurkan bantuan-bantuan yang diperlukan.
Hadir sama Residen Bahagian Limbang Ir. Ahmad Denney Ahmad Fauzi, Penolong Jurutera JKR Bahagian Limbang Mahathir Jokeni, Pemanca Abu Bakar Tinggal dan Ketua Kampung Bukit Kota Matasan Amit. -EDISI UKAS