ADUN Batu Danau Lawat Projek RTP Bina Dewan Serbaguna Kampung Penganan

SABTU, 22 MEI 2021

LIMBANG: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Paulus Palu Gumbang telah mengadakan lawatan kerja ke Kampung Penganan, Jalan Kubong pada Jumaat.

Lawatan ini bertujuan menyaksikan penyerahan nota terima balik tapak bagi Projek Membina Dewan Serbaguna Kampung Penganan, Jalan Kubong daripada Jurutera Awam Jabatan Kerja Raya (JKR) Limbang Katerina Gerang kepada Tuai Rumah Baba.

Projek pembinaan dewan serbaguna ini menggunakan peruntukkan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) ADUN Batu Danau dengan kos projek berjumlah RM350,000.

Dewan ini dilengkapi dengan elektrik, kipas, lampu, pentas dan tandas. 

Dalam lawatan itu, Paulus turut melihat bilik stor biro wanita kampung yang hampir siap dibina. 

Pembinaan bilik stor ini menggunakan peruntukan yang disalurkan oleh Ahli Parlimen Limbang Datuk Hasbi Habibullah dan ADUN Batu Danau. 

Keperluan bilik stor ini adalah untuk memudahkan biro wanita rumah panjang untuk menyimpan barangan keperluan memasak seperti periuk, pinggan, gelas dan dapur gas.

Dalam perjalanan pulang Paulus turut singgah melawat Projek RTP pembinaan dewan dan bangunan gereja yang menggunakan peruntukan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) di Kampung Semabat. -EDISI UKAS