SABTU, 22 MEI 2021
LIMBANG: Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail telah mengadakan lawatan ke Surau Baitur Rahmah RPR Batu Biah pada Khamis.
Lawatan ini adalah untuk meninjau tapak yang sesuai untuk membina menara tersebut dengan mengambil kira kos dan reka bentuknya.
Pembinaan menara ini adalah untuk meletakkan speaker (pembesar suara) bagi laungan azan supaya lebih jelas di dengari oleh semua penduduk RPR Batu Biah dan sekitarnya.
Pada 10 Mei lepas, Datuk Dr Abdul Rahman telah menyerahkan cek berjumlah RM50,000 kepada Pengerusi Surau Baitur Rahmah RPR Batu Biah semasa Program Taqarrub Ramdan bagi pembinaan menara surau tersebut.
Selepas itu, Datuk Dr Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota meneruskan lawatan ke Dewan Kampung Pelita bagi meninjau keperluan menaik taraf dewan tersebut.
Dewan yang dibina secara berfasa itu menggunakan peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) ADUN Bukit Kota yang akan memberikan manfaat kepada penduduk kampung khususnya sebagai tempat untuk menganjurkan aktiviti apabila ia siap sepenuhnya nanti.
Dalam lawatan ini Datuk Dr Abdul Rahman telah menyerahkan cek berjumlah RM50,000 kepada Pengerusi Surau Kampung Pelita Zalini untuk tujuan menaik taraf dewan tersebut.
Hadir sama Residen Bahagian Limbang Tuan Ir. Ahmad Denney Ahmad Fauzi, wakil Pejabat Residen Bahagian Limbang A.O Ayunni Tamimi, Penolong Jurutera JKR Bahagian Limbang Mahathir Jokeni, Pemanca Abu Bakar Tinggal, Ketua Kaum RPR Batu Biah Ibrahim Sahat dan Pengerusi Surau Baitur Rahmah RPR Batu Biah Nahar Ajis. -EDISI UKAS