SABTU, 22 MEI 2021
SARIKEI: Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datu Len Talif Salleh tetap berpuas hati dengan pelaksanaan projek-projek dalam Zon Tanjong Manis dan Sarikei khususnya dalam DUN Kuala Rajang.
Mengakui pandemik Covid-19 sedikit menjejaskan pelaksanaannya, beliau yang juga ADUN Kuala Rajang berkata beberapa projek dalam kawasannya tetap dilaksanakan mengikut jadual yang ditetapkan.
“Dari segi pelaksaan projek dalam dua tahun ini, memang agak lewat sedikit.
“Tetapi dalam masa yang sama, saya juga berpuas hati dengan perkembangan projek-projek di Zon Sarikei, Tanjong Manis dan N41 Kuala Rajang.
“Keseluruhannya saya tetap berpuas hati dengan prestasi pelaksanaan projek-projek ini seperti perkuburan Melayu Islam Sarikei dan juga Kompleks Sukan yang sedang dibangunkan ketika ini.”
Beliau berkata demikian ketika ditemubual selepas menyampaikan sumbangan Gawai kepada 94 buah rumah panjang di Zon Sarikei dan Tanjong Manis berjumlah keseluruhan RM75,100 pada Sabtu.
Mengenai sumbangan berkenaan, Datu Len berkata ia merupakan amalan tahunan pihaknya dalam berkongsi keceriaan kepada warga di kawasannya yang akan menyambut Hari Gawai tidak lama lagi.
Katanya, sumbangan itu bagi membolehkan penduduk melaksanakan aktiviti mereka sendiri berikutan pelaksanaan Printah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Pada masa sama, beliau turut menyeru warga di Sarikei untuk mendaftar bagi menerima suntikan vaksin dan terus mematuhi SOP untuk memutuskan jangkitan Covid-19 di daerah itu.
Sebanyak 59 buah rumah panjang dalam Zon Sarikei dan 35 buah di Zon Tanjong Manis dengan keseluruhan 1302 pintu menerima sumbangan berkenaan.
Simbolik penyerahan diadakan di Rumah Rehat Sri Nyelong di mana Penghulu Bidai Gisang menerima sumbangan mewakili semua masyarakat Iban bagi kawasan Kuala Rajang. – EDISI UKAS