SABTU, 22 MEI 2021
LAWAS: Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar II Dato Henry Sum Agong telah mengadakan lawatan ke tiga buah kampung bagi meninjau sendiri keadaan kawasan kampung dan mangsa banjir pada Khamis.
Dato Henry menggesa penduduk yang rumah mereka dinaiki air supaya segera berpindah dan menyelamatkan harta benda dan dokumen penting.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Lawas turut meninjau dan bertemu mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua Trusan.
Ketibaan beliau telah disambut Penghulu Liaw dan pegawai kesihatan serta wakil jabatan dan agensi yang bertugas di PPS itu serta diberikan taklimat ringkas berhubung situasi semasa yang berlaku.
Sehingga kini seramai 111 mangsa banjir telah ditempatkan di PPS SJK Chung Hua Trusan.
Dato Henry turut memaklumkan akan menghulurkan bantuan segera bagi keperluan mangsa banjir dan petugas di PPS SJK Chung Hua Trusan. -EDISI UKAS