Hospital Medan ATM Kapit Bantu Hospital Kapit Tangani Pesakit Biasa Sahaja

SABTU, 22 MEI 2021

KAPIT: Pengoperasian Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Dewan Masyarakat Melayu di sini semakin mendapat sambutan oleh penduduk yang kini faham dengan penubuhannya.

Pegawai Komandan Hospital Medan Kapit, Leftenan Kolonel (Dr) Saiful Anuar Ju@Ju Ahmad yang ditemui pada Jumaat berkata, hospital tersebut ditubuhkan untuk membantu pihak Hospital Kapit dalam menangani pesakit -pesakit biasa bagi mengurangkan kesesakan pesakit di Hospital Kapit dan memberi lebih keperluan untuk merawat pesakit COVID-19.

Jelasnya, hospital yang telah mula beroperasi pada 10 Mei lepas itu merupakan tempat sementara transisi bagi pesakit biasa yang tidak kritikal sebelum mereka dibenarkan keluar dari hospital.

Ujar beliau lagi, hospital tersebut terdiri daripada kelompok perubatan iaitu seramai enam Pegawai Perubatan, kelompok hospital seramai 33 paramedik, kelompok keselamatan seramai 12 anggota elemen keselamatan, perkhidmatan sokongan hospital seramai enam orang iaitu dari Syarikat One Medicare yang bertanggunjawab terhadap kebersihan dan sisa klinikal dan bukan klinikal serta Jururawat/Pembantu Perubatan seramai 10 orang dari Hospital Kapit yang terdiri daripada Pegawai KKM, metron, sister dan jururawat.

Tambahnya, kemudahan kelengkapan yang terdapat di Hospital Medan Kapit adalah Perkhidmatan rawatan, perkhidmatan X-ray, perkhidmatan Resus, Makmal & Formasi, mempunyai dua wad lelaki (16 katil) dan wad perempuan (16 katil) manakala Wad Tambahan (8 katil) dan penghawa dingin sebanyak enam unit.

Dalam pada itu, beliau menyeru penduduk di Kapit untuk tidak risau kerana penubuhan Hospital Medan adalah bagi membantu dan mengurangkan beban di Hospital Kapit yang semakin sesak akibat penularan penyakit COVID-19.

“Penjagaan SOP kebersihan amat penting di mana semua sisa peralatan rawatan dibuang secara baik mengikut SOP dan juga menjaga kebersihan di sekeliling kawasan bagi memastikan tiada pencemaran berlaku,” katanya lagi.-EDISI UKAS

Share

add comment