SABTU, 22 MEI 2021
MIRI: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri telah mengadakan mesyuarat kecemasan bagi membincangkan situasi banjir terkini yang berlaku Daerah Mulu, Bario dan Long Lama pada Jumaat.
Menteri Bertanggungjawab JPBB Miri Datuk Lee Kim Shin berkata, sebanyak 1.4 tan atau 544 pek makanan dihantar ke tempat yang terjejas akibat banjir.
“Tengah hari ini JPBB Miri dengan kerjasama MasWing, telah mengadakan penghantaran makanan pertama sebanyak 1.2 tan bahan makanan.
“Jumlah bantuan makanan yang dihantar ialah 544 pek.
“Esok (ahad) dan lusa (Isnin) Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bahagian Miri akan menghantar barang-barang makanan kepada semua mangsa banjir,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa ditemui di Lapangan Terbang Miri dalam persiapan penghantaran bekalan makanan kepada mangsa banjir di kawasan Mulu pada Sabtu.
Penghantaran bantuan bekalan makan kumpulan pertama yang dilaksanakan pada hari ini adalah dengan menggunakan khidmat pesawat jenis Twin Otter DHC Viking (MH3630) milik syarikat penerbangan MasWings.
Dalam pada itu, Datuk Lee yang juga Menteri Pengangkutan Sarawak telah meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Miri membuat tinjauan dan pemeriksaan infrstruktur jambatan Sungai Tutoh, kerosakan jalan dan jalan runtuh akibat hakisan bagi kerja-kerja baik pulih pada kadar yang segera di samping mengemukakan laporan permohonan peruntukan kerja-kerja baik pulih kepada JPBB Miri.
Sementara itu, Timbalan Speaker DUN Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu Dato Gerawat Gala, mengucapkan terima kasih kepada Ketua Pegawai Operasi (COO) MASwings, Kapten Nasaruddin A. Bakar kerana membantu dalam usaha penghantaran bekalan kecemasan bantuan makanan mangsa banjir di Mulu.
“Bantuan ini melibatkan Kampung Long Iman, Kampung Batu Bungan, Kampung Melinau dan Kampung Long Terawan.
“Penghantaran kumpulan pertama pada hari ini (Sabtu) membabitkan lebih kurang 1,200 kg berat bekalan makanan iaitu 100 pek bekalan makanan yang buat masa ini dihantar kepada penduduk kawasan Long Iman terlebih dahulu.
“Penghantaran bekalan makanan selebihnya akan dihantar melalui penerbangan seterusnya.
“Jumlah keseluruhan ialah 544 pek bekalan makanan kepada empat kawasan ini.
“Kita berharap pada Isnin nanti, jika keadaan cuaca mengizinkan pihak Bomba akan turut membantu menghantar bekalan makanan melalui helikopter Bomba kepada mangsa banjir,” katanya.
Sehingga Jumaat, JPBB Miri telah menerima laporan sebanyak 17 kawasan dalam Daerah Marudi telah dilaporkan terjejas akibat banjir manakala enam buah kampung dalam Daerah Telang Usan termasuk Pekan Telang Usan turut terjejas akibat peningkatan paras air Sungai Baram dan fenomena hujan lebat sejak Rabu.
Daerah Kecil Mulu dan Daerah Kecil Bario (Bario Sentral, Long Banga, Long Lellang, Long Seridan) juga dilaporkan terjejas teruk akibat dinaiki air sungai di samping kerosakan ke atas harta, infrastruktur serta tanaman penduduk.
Walau bagaimanapun setakat petang Jumaat paras air dilaporkan sudah mulai surut dan penduduk sudah mula melakukan kerja-kerja pembersihan dan baik pulih.
Hadir sama Pemangku Pegawai Daerah Miri Siti Rohanie Yusof dan agensi lain Malaysia Airports Holding Berhad, Syarikat MASwings Sdn. Bhd., Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM). -EDISI UKAS