SABTU, 22 MEI 2021
BINTULU: Kawasan Sungai Plan Bintulu telah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berkuatkuasa 22 Mei hingga 3 Jun ini.
Ahli Parlimen Bintulu Dato Seri Tiong King Sing, dalam sidang media pada Sabtu berkata, pendekatan tersebut terpaksa diambil ekoran tiada pilihan lain lagi selepas mendapati kawasan tersebut saban hari merekodkan kes positif COVID-19.
“Kita perlu ‘mengunci’ penuh (totally lockdown) kerana ia adalah kawasan besar dengan populasi penduduk yang ramai melebihi 10,000 orang,” katanya.
Dato Seri Tiong yang juga Duta Khas Perdana Menteri ke Republik Rakyat China menambah, sepanjang tempoh ‘dikunci’ (lockdown), penduduk tidak dibenarkan keluar dari kediaman mereka manakala orang luar juga tidak dibenarkan untuk memasuki kawasan penempatan tersebut.
Penduduk hanya dibenarkan keluar untuk urusan kesihatan akan disediakan perkhidmatan klinik bergerak di khemah kawalan petugas keselamatan bagi memudahkan penduduk mendapatkan rawatan atau pemeriksaan kesihatan.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana (JPBB) Bintulu Jack Aman Luat menerusi pesanan ringkasnya berkata, beberapa kawasan Sungai Plan, Jalan Tanjung Kidurong dipasang kawat berduri selepas kawasan terbabit diisytiharkan ‘dikunci penuh’ di bawah PKPD.
Antara kawasan yang ‘dikunci penuh’ pergerakan penduduknya merangkumi seluruh blok flat Sungai Plan, RPR Sungai Plan, Kampung Sungai Plan Lot termasuk penempatan Kampung Setinggan Dayak Sungai Plan.
“Pemasangan kawat berduri di kawasan tersebut sebagai salah satu langkah bagi memperketatkan kawalan keselamatan di kawasan terbabit yang telah diisytiharkan sebagai kawasan berisiko jangkitan COVID-19.
“Setakat 22 Mei 2021, sebanyak 171 kes positif kes COVID-19 telah direkodkan di kawasan terbabit menerusi saringan Pengesanan Kes Secara Aktif (ACD) yang dilaksanakan Pejabat Kesihatan Bintulu,” katanya.
Jack Aman yang juga Residen Bahagian Bintulu menambah, JPBB Bintulu akan menjalankan pemeriksaan saringan terhadap semua penduduk di kawasan terbabit yang dianggarkan lebih 11,000 orang.
“Langkah ini diambil bukan bertujuan untuk menyukarkan penduduk, sebaliknya, bagi menghalang kemasukan orang luar selain mengawal pergerakan penghuni.
“Jika pendekatan sedemikian tidak diambil adalah sukar bagi pihaknya dalam mengawal keadaan ekoran terdapat banyak laluan tikus di kawasan berkenaan,” tambahnya.
Sementara itu, kerja pemasangan kawad berduri di kawasan penempatan terbabit dilakukan anggota Batalion Ke-7 Rejimen Askar Sempadan yang mana ia merupakan sumbangan pihak Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA). -EDISI UKAS