Persatuan Ketua Kaum Daerah Sebauh Sokong Dato Sri Dr Stephen Rundi Sebagai Calon DUN Kemena

SABTU, 22 MEI 2021

BINTULU: Persatuan Ketua Kaum Daerah Sebauh sebulat suara menyokong penuh Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom kekal sebagai calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemena dan terus menerajui Kementerian Utiliti yang sangat relevan untuk memenuhi aspirasi rakyat luar bandar. 

Pengerusinya, Tuai Rumah Justin Agas Guang dalam kenyataan medianya pada Jumaat berkata, komitmen Dato Sri Dr Stephen Rundi dalam menyelesaikan masalah rakyat dan membangun kawasan DUN Kemena merupakan sebab utama kepada sokongan itu demi pembangunan Kemena secara berterusan dan kebajikan rakyat di kawasannya sejak menjadi wakil rakyat di Kemena. 

“Sepanjang empat penggal menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemena, pelbagai projek pembangunan telah dilaksanakan menerusi pemberian geran Projek Kecil LUar Bandar (MRP), Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) dan Projek Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS) dalam memastikan rakyat di kawasan Kemena tidak terpinggir dari arus pembangunan dan kemajuan. 

“Malah, kebanyakan rumah panjang di kawasan luar bandar di kawasan Kemena kini juga telah menikmati pelbagai kemudahan bekalan air terawat luar bandar, bekalan elektrik luar bandar termasuk SARES selain kemudahan infrastruktur seperti jalan raya, jambatan dan sebagainya,” katanya. 

Tambah Tuai Rumah Justin Agas lagi, Dato Sri Dr Stephen Rundi merupakan anak jati tempatan yang sudah pastinya memahami kehidupan serta masalah rakyat di sini. 

“Pihak kami tidak akan menyokong mana-mana calon lain selain daripada beliau. 

“Kita melihat siapa yang bekerja untuk rakyat dan bukan hanya bercakap sahaja,” tambahnya.

Justeru, kami berharap semua rakyat di DUN Kemena tidak keliru dengan mana-mana pihak yang mempunyai kepentingan peribadi kerana Dato Sri Dr Stephen Rundi masih lagi menjadi calon di DUN Kemena. -EDISI UKAS