SABTU, 22 MEI 2021
BINTULU: Syarikat Petroleum Nasional (PETRONAS), melalui anak syarikatnya, Kumpulan Syarikat Malaysia LNG dan PETRONAS LNG 9 Sdn Bhd telah memberikan sumbangan sebanyak RM520,000 kepada awatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBBB) Bintulu bagi membeli tiga Polymerase Chain Reaction (PCR).
PCR itu akan digunakan bagi menjalankan ujian COVID-19 dan akan ditempatkan di makmal baharu yang dibina April lepas.
Menurut Pengurus Kanan (Perkhidmatan Teknikal) Malaysia LNG Sdn Bhd Iskandariah Roslan Abdul Wahab, PETRONAS akan terus bekerjasama rapat dengan agensi kerajaan berkaitan sebagai sebahagian daripada komitmen untuk meningkatkan kesejahteraan masyarakat, terutamanya pada masa yang mencabar ini.
“Sumbangan ini adalah untuk membeli tiga unit mesin PCR bagi membantu perjuangan melawan jangkitan COVID-19.
“Adalah diharap ini dapat membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak mempercepatkan perjuangan kita terhadap pandemik ini,” katanya.
Tambahnya lagi, PETRONAS turut mengambil berat dalam penularan wabak COVID-19 ini yang boleh menganggu dan menjejaskan operasi PETRONAS di Bintulu.
Penyerahan replika cek sebagai simbolik disampaikan Pengurus Kanan (Perkhidmatan Teknikal) Malaysia LNG Sdn Bhd, Iskandariah Roslan Abdul Wahab kepada Residen Bahagian Bintulu merangkap pengerusi JPBB Bintulu, Jack Aman Luat di perkarangan Pejabat Residen pada Jumaat.
Sebelum ini, tiga anak syarikat PETRONAS iaitu Kumpulan Syarikat LNG Malaysia, PETRONAS Carigali Sdn Bhd (PCSB) dan PETRONAS LNG 9 Sdn Bhd secara kolektif telah menyumbang masing-masing empat unit komputer riba kepada Pejabat Daerah Tatau dan Sebauh yang digunakan petugas barisan hadapan untuk menjalankan Program Imunisasi COVID-19 Daerah Sebauh, Bintulu.
Hadir sama Ahli Parlimen Bintulu Dato Seri Tiong King Sing, Residen Bahagian Bintulu Jack Aman Luat, egawai Kesihatan Bahagian Bintulu Dr Melvin Chung dan Timbalan Pengarah Hospital Bintulu Dr Sivashunmugam Sangaran. -EDISI UKAS