Tanah Runtuh, Jalan Bario-Pa’Dalih Ditutup Sementara

SABTU, 22 MEI 2021

BARIO: Ekoran kejadian banjir di Daerah Kecil Bario telah menyebabkan berlakunya tanah runtuh hingga menyebabkan jalan perhubungan terputus.

SPJL Construction and Engineering Sdn Bhd dalam kenyataan media pada Jumaat memberitahu pihaknya telah menutup Jalan Bario-Pa’Dalih untuk kerja-kerja pembaikan dan masa sama membuat jalan alternatif bagi keperluan penduduk

“Kejadian tanah runtuh telah berlaku di Daerah Kecil Bario yang membabitkan jalan penghubung utama bagi penduduk dari Bario ke Pa’ Dalih dan seterusnya ke Bandaraya Miri. 

“Penutupan jalan ini adalah bagi tujuan membaik pulih jalan KM 6.62 dari Simpang Lapangan Terbang Bario ke Pa Dalih yang telah runtuh pada 20 Mei 2021 dengan koordinat N=03°42.027’ dan E=115°29.632’,” katanya. 

Tambah kenyataan itu lagi, SPJL Construction and Engineering  ketika ini pihaknya sedang membuat jalan alternatif iaitu melalui Kuari Marvin.

“Tempoh pembaikan jalan utama dijangka dijangka akan mengambil masa beberapa minggu mengikut keadaan cuaca, serta tempoh siap pembukaan jalan alternatif dijangka akan mengambil masa beberapa hari.

“Sehubungan itu, pengguna jalan raya dinasihati merancang perjalanan di kawasan-kawasan yang terlibat. Segala kesulitan amat dikesali,” tambahnya. -EDISI UKAS