JPBB Miri Perjelas Penularan Gambar, Video Dan Mesej Audio Kematian Di Daerah Miri

AHAD, 23 MEI 2021

MIRI: Tular di media sosial baru-baru ini berkenaan dengan kejadian tiga kematian dalam satu keluarga yang berlaku di Daerah Miri. 

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri dalam kenyataan media pada Ahad berkata siasatan awal Jabatan Kesihatan Negeri mendapati ketiga-tiga kes yang berlaku ini melibatkan satu keluarga besar (extended family) di Miri. 

“Dua kematian telah berlaku di Hospital Miri manakala seorang lagi meninggal dunia di rumah sebelum sempat dibawa ke hospital. 

“Kes kematian pertama dikategorikan sebagai kematian bukan akibat daripada komplikasi COVID-19 (Mortality with COVID-19) dan telah dilaporkan pada 19 Mei 2021. 

“Manakala, kes kematian kedua dikategorikan sebagai kematian disebabkan komplikasi COVID-19 (Mortality due to COVID-19) dan telah dilaporkan pada 20 Mei 2021. 

“Punca kematian kes ketiga masih dalam siasatan,” katanya. 

Sehubungan itu, JPBB Miri mengucapkan ucapan takziah kepada semua ahli keluarga mangsa dan turut menasihati orang ramai agar tidak menyebarkan berita tidak tepat dan menimbulkan perasaan takut dan panik dalam kalangan masyarakat Miri. -EDISI UKAS

Share

add comment