Patuhi SOP Ketika Sambut Gawai, JKKK Atau NGO’s Diminta Bersabar

AHAD, 23 MEI 2021

TATAU: Masyarakat Dayak digesa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) sambutan perayaan Gawai pada tahun ini seperti yang telah dikeluarkan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR). 

“Kita hanya menyambut Gawai di kalangan ahli keluarga yang tinggal sebilik atau serumah sahaja. 

“Kita tidak boleh ‘ngabang’ ke bilik-bilik lain walaupun dalam  rumah panjang yang sama.

“Manakala, jika di bandar, Gawai hanya disambut ahli keluarga yang tinggal bersama serumah dan tidak perlu untuk balik ke rumah panjang,” katanya.

Perkara ini ditegaskan Menteri Muda (Undang-Undang dan Adat Bumiputera) Sarawak Datuk John Sikie Tayai semasa ditemui selepas menyampaikan cek Projek Kecil Luar Bandar (MRP) di Pusat Khidmat DUN Kakus pada Sabtu. 

Dalam pada itu, beliau meminta semua Pengerusi dan Ahli Jawatankuasa (AJK) JKKK rumah panjang memantau dengan tegas agar semua SOP ini dipatuhi oleh semua penduduk di rumah panjang.

Mengulas mengenai penyampaian cek MRP, Datuk John Sikie yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kakus berharap mereka yang belum menerima cek MRP diminta bersabar.

“Saya berharap agar mana-mana Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO’s) atau Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang masih belum menerima cek MRP agar bersabar kerana lebih RM2 juta peruntukkan MRP akan diagihkan bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kakus pada tahun 2021.

“Apabila cek ini siap diproses nanti ia akan diagihkan segera agar boleh digunakan oleh JKKK atau NGO’s untuk melaksanakan aktiviti atau keperluan masing-masing,” ujarnya. 

Sebanyak 5 cek MRP yang berjumlah RM85,000 telah diserahkan kepada tiga buah JKKK Rumah Panjang, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Tatau dan Pejabat Pendidikan Daerah Tatau/ Sebauh.

Pada masa sama, beliau turut menyampaikan bantuan kewangan kepada Lim Tcia Hu yang menghidap penyakit kronik.

Hadir sama Pemangku Pegawai Daerah Tatau Calvin Ligong dan Pegawai Tadbir Daerah Tatau Winnie Dian. -EDISI UKAS