AHAD, 23 MEI 2021
MULU: Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Dato Gerawat Gala telah turun padang dan meninjau sendiri keadaan kampung dan rumah yang terjejas akibat banjir.
Dalam lawatannya, beliau melahirkan rasa simpati dengan keadaan penduduk yang terjejas selepas kediaman mereka dinaiki air akibat banjir baru-baru ini.
“Saya berharap supaya penduduk yang terjejas bersabar dan tabah menghadapi banjir yang mana disifatkan bencana banjir kali ini merupakan yang paling memberikan kesan.
“Banjir kali ini juga telah mengakibatkan kerosakan harta benda misalnya yang berlaku di Kampung Long Iman apabila rumah panjang tersebut rosak teruk akibat arus air yang deras,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas mengadakan tinjauan ke kampung di sepanjang Sungai Tutoh dan Sungai Baram pada Ahad.
Dato Gerawat yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu turut menegaskan agar penduduk mengambil langkah berjaga-jaga memandangkan keadaan air masih lagi tinggi dan deras.
Katanya, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Marudi telah menghantar 171 pek bantuan makanan kepada penduduk yang terjejas akibat banjir ke Kampung Long Panai dengan menggunakan jalan darat.
Antara yang menerima bantuan makanan ialah Sekolah Menengah Kebangsaan Tutoh Apoh 27 pek, Sekolah Kebangsaan Long Panai 9 pek, Kampung Long Panai 129 pek dan Klinik Kesihatan Long Panai 6 pek.
Turut hadir Pegawai Tadbir Sarawak di Pejabat Daerah Kecil Mulu Rabeta Jangi. -EDISI UKAS