AHAD, 23 MEI 2021
MIRI: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri melihat kebanyakan pengusaha pasaraya dan pusat membeli belah mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan dalam usaha mengekang penularan wabak pandemik COVID-19.
Menteri Bertanggungjawab JPBB Miri Datuk Lee Kim Shin berkata, sepanjang pemantauan itu semua enam buah pusat membeli belah didapati mematuhi SOP yang ditetapkan.
“Pasukan penguatkuasa telah mengadakan lawatan mengejut ke atas pusat beli-belah dan pasaraya di kawasan Riam dan Taman Tunku.
“Kita telah mengunjungi enam buah pusat beli-belah dan didapati mereka semua mematuhi keperluan SOP COVID-19,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas mengadakan pemeriksaan mengejut di beberapa buah pasaraya dan pusat membeli belah di Riam dan Taman Tunku pada Ahad.
Jelasnya lagi, semua pasaraya dan pusat beli belah mematuhi SOP terkini iaitu penetapan had bilangan pelanggan yang dibenarkan masuk berdasarkan kapasiti premis.
Setakat ini sebanyak 14 buah pusat membeli belah dan pasaraya telah diperiksa JPBB Miri.
Dalam pada itu, Datuk Lee yang juga Menteri Pengangkutan Sarawak turut mengadakan lawatan ke kedai makan bagi memastikan tiada pengusaha yang melanggar SOP dengan tidak membenarkan makan di dalam premis.
“Sekali lagi saya meminta semua bekerjasama dan mematuhi SOP yang dikeluarkan.
“Lawatan ini juga dibuat di kedai makan berhampiran dan nasihat bahawa pelanggan tidak dibenarkan untuk dine-in turut diberikan.
“SOP yang juga digariskan oleh pihak Majlis Bandaraya Miri (MBM) seperti tidak meletakkan meja, tidak dibenarkan dine-in,” ujarnya.
Hadir sama Pengerusi JPBB Miri merangkap Pemangku Residen Bahagian Miri Abdul Aziz Mohamad Yusuf, Datuk Bandar Miri Adam Yii Siew Sang dan Timbalan Ketua Polis Daerah Miri. -EDISI UKAS