Polis Daerah Mukah Patah Cubaan Seludup Minuman Keras

AHAD, 23 MEI 2021

MUKAH: Polis Daerah Mukah berjaya mematahkan cubaan menyeludup 150 karton minuman keras dengan nilai rampasan sebanyak RM98,000 termasuk kenderaan.

Menurut Ketua Balai Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal Alias, tangkapan dibuat kira-kira jam 12.15 pagi oleh sepasukan anggota Balai Polis Daerah Mukah yang membuat operasi bersepadu.

“Ketika sampai di persimpangan Jebungan, jalan Mukah – Balingian, mereka telah terserempak sebuah lori kargo dan pasukan ini telah menahan lori kargo tersebut.

“Setelah membuat pemeriksaan lori kargo tersebut, ia mengandungi sejumlah minuman keras dan disyaki minuman-minuman keras yang diseludup.

“Setelah diperiksa dokumentasi berkenaan minuman keras tersebut, tiada dokumen yang sah, menunjukkan minuman keras tersebut tiada duti import dari pihak kastam,” katanya dalam sidang media pada Ahad.

Jelasnya, seorang lelaki berusia 34 tahun yang bertindak sebagai pemandu lori kargo tersebut telah ditahan manakala tangkapan dan rampasan telah dibawa ke Balai Polis Daerah Mukah untuk siasatan lanjut.

Katanya, kes disiasat dibawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan tidak kurang 10 kali ganda, atau RM100,000 denda ikut nilai rampasan dan tidak lebih daripada 20 kali ganda atau RM500,000 denda mengikut nilai rampasan.

Ia memperuntukkan penjara tidak kurang dari enam bulan atau tidak lebih dari lima tahun penjara atau denda dan penjara kedua-duanya sekali, tambah beliau lagi.

“Setakat ini siasatan akan dijalankan oleh pihak Siasatan dan Jenayah IPD Mukah.

“Kita akan teruskan operasi begini terutamanya dalam masa perayaan begini di kawasan Mukah bagi membanteras sebarang aktiviti penyeludupan,” katanya.

Beliau juga memohon penduduk di Mukah untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkenaan sebarang aktiviti penyeludupan supaya tindakan boleh diambil berlandaskan undang-undang sedia ada. – EDISI UKAS

Share

add comment