Ujian Saringan Di Pusat Sehenti COVID-19 Kuching Secara Pandu Lalu

AHAD, 23 MEI 2021

KUCHING: Orang awam yang hadir menjalani ujian saringan ke Pusat Sehenti COVID-19 di Dewan Masyarakat Kuching, Padungan di sini dinasihatkan untuk melakukan secara pandu lalu atau ‘drive-thru’ sahaja.

Ketua Komander Pusat Sehenti COVID-19, Dr Cheong Yaw Liang berkata, pusat sehenti itu adalah hanya untuk secara pandu lalu sahaja dan orang awam yang datang tidak dibenarkan untuk meletakkan kenderaan di tepi jalan dan masuk secara ‘walk-in’ ke pusat tersebut.

Manakala katanya, bagi mereka yang menggunakan perkhidmatan awam atau e-hailing adalah dibenarkan.

“Tindakan tersebut akan membuat pandu lalu di situ sesak dan bergerak perlahan.

“Hari ini sahaja, sebanyak 200 orang yang masuk secara ‘walk-in’ ke pusat tersebut terpaksa berdiri di bawah kanopi sementara menunggu giliran untuk disaring atau dinilai,” katanya.

Pusat Sehenti COVID-19 itu dibuka dari Isnin hingga Jumaat dari pukul 9 pagi hingga pukul 5 petang.

Manakala pada Sabtu dan Ahad serta cuti umum ia beroperasi dari pukul 9 pagi hingga pukul 12 tengah hari.-EDISI UKAS

Share

add comment