6 Orang Ditahan Dalam Serbuan Pertaruhan Haram Judi Lumba Kuda

ISNIN, 24 MEI 2021

KUCHING: Polis berjaya menahan enam lelaki tempatan berusia 47 hingga 64 tahun semasa membuat pertaruhan haram judi lumba kuda di kawasan pasar Kenyalang Park, Kuching baru-baru ini.

Sepanjang operasi, beberapa rampasan turut dilakukan iaitu tiga unit telefon bimbit dan buku tercatit angka yang disyaki pertaruhan haram judi lumba kuda.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching, Superitendan Merbin Lisa dalam kenyataan media memberitahu, kesemua saspek yang ditangkap akan direman dan ditahan di IPD Kuching untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 6 (3) Akta Pertaruhan 1953 jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM200,000 dan dikenakan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun.

“Keenam-enam lelaki tersebut turut dikenakan tindakan kompaun kerana melakukan kesalahan di bawah Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Bawah Kawasan Tempatan Jangkitan)(No. 4) 2021 kerana tidak mematuhi Arahan Ketua Pengarah (gagal memastikan penjarakan fizikal),” katanya.

Jelas beliau lagi, pihak polis turut berjaya menahan lapan individu iaitu 7 lelaki tempatan dan seorang perempuan warga Indonesia berusia antara 21 hingga 36 tahun kerana menjalankan aktiviti judi atas talian.

“Tangkapan dibuat di rumah kediaman, hadapan premis kedai kopi dan kedai serbaneka 24 jam di sekitar kawasan Gita, Santubong dan Sekama.

“Kesemua yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan bagi kesalahan ini, ia memperuntukkan hukuman denda RM5,000 hingga RM50,000 dan hukuman penjara hingga tiga tahun jika sabit kesalahan,” jelasnya.

Beliau menambah, operasi bersepadu oleh Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kuching dan kakitangan Sarawak Energy Berhad akan dijalankan secara berterusan di sekitar kawasan Kuching bagi premis-premis degil seperti kedai runcit, kedai makan dan rumah persendirian yang terlibat dalam kegiatan judi atas talian tanpa lesen beroperasi. -EDISI UKAS

Share

add comment