ADUN Mulu Tunai Permintaan Tuai Rumah Serah Sumbangan Perkakas Mencuci Rumah

ISNIN, 24 MEI 2021

MULU: Air pasang besar yang berlaku di rumah panjang telah membawa bersama lumpur sedalam dua kaki. 

Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Dato Gerawat Gala berkata, keadaan ini sangat teruk dan memerlukan peralatan khas untuk membersihkan rumah panjang yang terjejas akibat banjir dan lumpur. 

“Pagi ini sudah sediakan bahan-bahan untuk membantu mereka di Long Iman khasnya yang terkesan teruk banjir supaya dapat membersih rumah-rumah mereka. 

“Bantuan yang kita hantar pagi ini ialah dua pam air untuk mencuci rumah panjang mereka dan juga hos-hos ini bersama dengan satu dram minyak dan juga kereta sorong supaya mereka dapat membersihkan rumah,” katanya semasa ditemui selepas menyampaikan sumbangan kelengkapan untuk membersihkan rumah di Kampung Long Iman pada Isnin. 

Jelasnya lagi, kesemua sumbangan ini merupakan permintaan daripada Turi Rumah Panjang di Long Iman yang terjejas teruk apabila lumpur sehingga dua kaki memasuki rumah panjang mereka. 

Sumbangan berupa enjin pam air, kereta sorong dan kelengkapan lain telah diserahkan kepada Pegawai Tadbir Sarawak di Pejabat Daerah Kecil Mulu Rabeta Janggi yang mewakili penduduk Long Iman. 

Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu memberitahu bantuan berupa makanan telah dihantar di beberapa buah tempat dan akan disambung pada Selasa sekiranya keadaan cuaca mengizinkan. 

“Semua bantuan makanan sudah dihantar di sesetengah tempat dan apabila keadaan mengizinkan mungkin esok akan dihantar dan semua akan selesai dihantar pada hari esok,” ujarnya. -EDISI UKAS

Share

add comment