ATM Gagalkan Cubaan Seludup Masuk 18 PATI

ISNIN, 24 MEI 2021

KUCHING : Cubaan tiga orang warga tempatan dipercayai ‘Tekong Darat’ membawa masuk 18 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ke Malaysia telah digagalkan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bertempat di Kandaie pada Ahad.

Menurut satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan Markas Divisyen Pertama Infantri Malaysia, kejadian berlaku pada jam 5.20 petang apabila sepasukan anggota yang diaturgerak untuk membuat serang hendap (SERKAP) di Sektor Kandaie, iaitu kira-kira 2 kilometer dari sempadan antarabangsa Malaysia – Indonesia telah bertindak pantas menggagalkan percubaan berkenaan.

Setelah ditahan dan disoal siasat, seorang Tekong Darat yang menaiki motosikal bertindak sebagai pemerhati bagi meninjau dan memastikan laluan lorong tikus selamat sebelum dua lagi Tekong Darat cuba membawa masuk PATI menggunakan sebuah lori 1 Tan.

Hasil pemeriksaan lanjut juga mendapati, kesemua PATI tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah dan kesemua mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Lundu untuk tindakan selanjutnya. -EDISI UKAS

Share

add comment