Daftar Diri Sebagai Penerima Vaksin COVID-19, Buka Lebih Banyak PPV Di Limbang Dan Lawas

ISNIN, 24 MEI 2021

LIMBANG: Menteri Bertanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Limbang Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berpuas hati dengan usaha yang telah dilakukan dalam pemberian vaksin COVID-19 walaupun masih pada peringkat awal.

“Alhamdulillah, setakat ini bagi Daerah Limbang individu yang telah mendaftar untuk menerima suntikan vaksin menghampiri 22 ribu orang daripada 40,000 penduduk di Daerah Limbang. 

“Bermakna, jumlah ini menghampiri kepada 60 peratus yang telah mendaftar sama ada melalui aplikasi My Sejahtera ataupun secara manual melalui Pejabat Daerah, Majlis Daerah dan melalui KKM sendiri. 

“Kita berharap lebih banyak lagi usahakan dilakukan untuk mendaftarkan mereka yang belum mendaftar ini sebab kita hendak mencapai 100 peratus mereka yang layak menerima vaksin iaitu yang berumur 18 tahun ke atas supaya dapat mencapai 80 peratus daripada penduduk untuk menjadikan imuniti kelompok,”katanya. 

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas mengadakan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Daerah Limbang di Dewan Suarah Limbang pada Ahad. 

Dalam pada itu, Dr Abdul Rahman yang juga Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak menjelaskan keperluan penambahan PPV bagi menampung jumlah penerima vaksin COVID-19. 

Setakat ini, PPV Dewan Suarah kapasitinya hanya dalam 400 orang sehari sahaja.

“Jadi, kalau vaksin banyak kita tidak dapat memberikan vaksin di sebuah PPV sahaja kerana ia akan menyebabkan kesesakan, ramai orang berkumpul, mengambil masa yang panjang dan juga boleh menjejaskan SOP. 

“Kita bercadang akan membuka lebih banyak PPV ini di Limbang, antara tempat yang kita cadangkan di kawasan Batu Danau adalah di Dewan Batu Danau, di kawasan Medamit di Dewan Masyarakat Medamit dan juga di Stadium Tertutup Limbang. 

“Manakala, bagi di daerah Lawas sekarang pun hanya ada satu PPV di sana dan kita juga akan menambah di daerah-daerah kecil seperti di Sundar, di Merapok dan di Trusan supaya apabila vaksin datang dalam tempoh dua tiga bulan ini,” jelasnya. 

Kerajaan Sarawak menjangkakan 80 peratus rakyatnya akan diberi vaksin sehingga 31 Ogos 2021 dan Sarawak juga telah diberikan lesen oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan kerajaan Persekutuan untuk membeli vaksin sendiri untuk mencapai sasaran pada bulan Ogos ini.

Hadir sama Pegawai Kesihatan Bahagian Limbang Dr. Norliza Jusoh, Penolong Penguasa Bomba JBPM Zon Tujuh Limbang Azman Ibrahim, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Limbang Lans Koperal (PA) Norlia Ahmad Rafaie dan Pegawai Psikologi Jabatan Kebajikan Masyarakat Bahagian Limbang Alexander Lucas Khiu Kwong Huat. -EDISI UKAS

Share

add comment