Galak Lebih Ramai Pengusaha Berjaya Dalam Bidang Pertanian Dan Penternakan

ISNIN, 24 MEI 2021

LIMBANG: Golongan petani dan nelayan di Daerah Limbang dan di Sarawak diminta untuk menjadikan kejayaan Andreas Etong Bayong yang mengusahakan kolam ikan sebagai suatu usaha yang harus dicontohi. 

Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, beliau kini telah berjaya meraih pendapatan bulanan kasar daripada kolam ikan ialah di antara RM10,000 ke RM15,000 sebulan. 

Kolam ikan kecil-kecilan ini diusahakan Andreas Etong dan keluarga sejak tahun 1991 dan telah berkembang pada tahun 2001 disebabkan permintaan yang mengalakkan daripada masyarakat setempat di Daerah Limbang. 

Kini, beliau telah mempunyai 11 buah kolam tanah, 11 buah kolam simen, 12 buah sangkar, 19 buah jenis canvas dan 6 buah tangki simen khas untuk pembenihan. 

Katanya semasa mengadakan lawatan ke Kolam Ikan Milik Andreas Etong Bayong di Kampung Mengari pada Sabtu. 

Tambahnya Datuk Dr Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota, kejayaan lebih ramai warga petani dan penternak di negeri ini sangat penting untuk mencapai hasrat kerajaan negeri menjadi pengeksport produk berasaskan pertanian menjelang tahun 2030.

Antara ikan yang dipelihara oleh beliau adalah ikan Tilapia Merah dan Hitam, ikan Keli, ikan Patin, ikan Jelawat, ikan Baong, ikan Pacu dan ikan Lampan Jawa.

Selain menjual ikan, beliau juga menjual benih ikan dan menjana pendapatan dari kebun sayur dan kedai runcit Agrobazaar.

Kerajaan Sarawak sentiasa membantu sesiapa sahaja yang menunjukkan minat dan kesungguhan untuk mengusahakan pertanian atau penternakan sebagai sumber pendapatan bulanan.

Andreas pernah mendapat bantuan daripada kerajaan seperti Unit Bantuan Perikanan (CAP) pada tahun 2014 yang bernilai RM30,000, Tanaman Sayur Dalam Jejaring 2015 bernilai RM8,000, Projek Usahawan Akuakultur 2019 bernilai RM100,000 dan kedai Agrobazaar 2019 RM50,000.

Turut sama hadir ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang, Penolong Pegawai Pertanian Daerah Limbang Christopher Dawat Anur, Penolong Pegawai Pertanian Bahagian Perikanan Darat Puri Angih dan Penolong Pegawai Pertanian (Stesen Pertanian Kubong) Janneiya Labai. -EDISI UKAS