Kerajaan Sarawak Peruntuk Dana RM3.05 Juta Bina Bangunan Baharu PPKI

ISNIN, 24 MEI 2021

KUCHING: Kerajaan Sarawak menerusi Kementerian Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi memperuntukkan dana sebanyak RM3.05 juta bagi membina blok bangunan baharu untuk kelas Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Matang Jaya di sini.

Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak, Datuk Amar Michael Manyin Jawong telah menyerahkan cek RM3.05 juta kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Matang Jaya di pejabatnya, pada Isnin.

Pembinaan blok baharu itu melibatkan 14 buah bilik darjah bagi menampung seramai 130 orang pelajar yang merupakan pelajar seperti autisme, sindrom down, lewat perkembangan, ADHD, palsi serebral, disleksia, buta dan rabun.

Selain itu, ianya akan memberikan peluang pembelajaran yang lebih baik dan selesa bagi menampung bilangan pelajar berkeperluan khas yang semakin bertambah setiap tahun. –EDISI UKAS

Share

add comment