Kontraktor Bantu Kerja-Kerja Membuang Serpihan Kayu Bagi Kemudahan Nelayan

ISNIN, 24 MEI 2021

MIRI: Selepas menerima laporan daripada wakil nelayan Pantai Batu Satu Kuala Baram, Miri berhubung insiden banyak serpihan kayu terdampar di sepanjang pantai Kampung Batu Satu, Menteri Bertanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri Datuk Lee Kim Shin segera ke kampung tersebut bagi meninjau sendiri keadaan itu.

Menurut Datuk Lee, serpihan kayu yang hanyut dipukul ombak di sepanjang Pantai Batu Satu Kuala Baram sehingga menyukarkan penduduk. 

“Kita lihat di sini kali pertama serpihan kayu yang berlaku di kawasan ini. Insiden ini berlaku setiap tahun apabila tiba musim hujan lebat dan fenomena air pasang. 

“Walau bagaimanapun insiden yang berlaku pada kali ini agak luar biasa dengan keadaan longgokan serpihan kayu yang begitu banyak sekali sehingga ada yang mencecah ketinggian satu meter dan menghalang bot-bot nelayan yang keluar masuk,” katanya ketika ditemui selepas meninjau insiden serpihan kayu terdampar di Pantai Batu Satu pada Isnin. 

Datuk Lee yang juga Menteri Pengangkutan Sarawak turut memberitahu satu Projek Pengawalan Hakisan Pantai di Kampung Batu 1, Kuala Baram Miri telah mula dilaksanakan pada April lepas dan dijangka siap pada November 2022. 

Projek ini dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) dengan jumlah peruntukan sebanyak RM17.4 juta merangkumi kerja-kerja penyeliaan projek selain pembinaan benteng pemecah ombak sepanjang 200 meter di luar pesisir pantai, lima groin dan tanjakan konkrit yang mampu menampung lebih 100 bot untuk memudahkan nelayan keluar masuk untuk turun laut. 

“Kita pun sedang menjalankan satu projek yang dilaksanakan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sarawak. 

“Ini adalah untuk mengawal hakisan pantai yang berlaku di pantai Kampung Batu Satu. 

“Projek yang dijalankan untuk menyelesaikan masalah ini sudah mencapai 10 peratus,” ujarnya. 

Sementara itu, kontraktor projek telah memberikan kerjasama dengan membantu membuang serpihan-serpihan kayu itu bagi membolehkan nelayan membawa keluar masuk bot mereka.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri merangkap Pemangku Residen Bahagian Miri Abdul Aziz Mohamad Yusuf, Jurutera Bahagian JPS Miri Ir. Hiew Si Tien dan Ketua Kaum Kampung Batu Satu Mohamad Yusop Sulaiman. -EDISI UKAS

Share

add comment