KPDNHEP Laksana SHMMP Pesta Kaamatan dan Hari Gawai 2021

ISNIN, 24 MEI 2021

KUCHING: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Pesta Kaamatan dan Hari Gawai 2021.

Menterinya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, SHMMP Pesta Kaamatan dan Hari Gawai 2021 akan berkuatkuasa pada 27 Mei hingga 2 Jun 2021 dan 28 Mei 2021 hingga 3 Jun 2021.

“Kementerian telah mengenal pasti sebanyak 11 jenis barangan bagi pelaksanaan SHMMP Pesta Kaamatan dan Hari Gawai 2021 dan berkuatkuasa dalam tempoh tujuh hari,” katanya dalam kenyataan media pada Isnin.

Senarai barangan bagi SHMMP Pesta Kaamatan 2021 adalah termasuk Ayam hidup, Ayam standard, Ayam super, Kepak ayam, Telur ayam gred A, Telur ayam gred B, Telur ayam gred C, Daging kerbau import (India), Babi hidup (harga maksimum di peringkat ladang sahaja), Daging babi (perut) dan Daging babi (daging dan lemak).

Manakala senarai barangan bagi SHMMP Hari Gawai 2021 adalah Ayam hidup, Ayam standard, Ayam super, Ayam tua hidup, Kepak ayam, Telur ayam gred A, Telur ayam gred B, Telur ayam gred C, Babi hidup (harga maksimum di peringkat ladang sahaja), Daging babi (perut) dan Daging babi (daging dan lemak).

Dalam pada itu, Dato Sri Alexander menegaskan kementeriannya akan membuat pemeriksaan dan pemantauan ke atas premis yang berkaitan di Labuan, Sabah dan Sarawak bagi memastikan peniaga mematuhi SHMMP.

“Peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dikenakan penalti,” tambahnya.

Sementara itu, pengguna boleh menyalurkan aduan jika mendapati ada peniaga yang tidak mematuhi undang-undang menerusi Portal e-aduan@kpdnhep.gov.my, Call Centre 1800 886 800, Emel e-aduan@kpdnhep.gov.my, Aplikasi telefon pintar Ez ADU, Enforcement Command Centre (ECC) 03-8882 6245 / 6088, Whatsapp ke 019- 279 4317 dan lapor/hadir ke mana-mana 72 buah pejabat KPDNHEP di seluruh Negara. -EDISI UKAS

Share

add comment