Orang Ramai Diminta Berwaspada Dan Hati-Hati Pada Musim Banjir

ISNIN, 24 MEI 2021

LIMBANG: Orang ramai khususnya ibu bapa digesa berwaspada dan berhati-hati dengan memantau aktiviti anak-anak ketika musim banjir ini. 

Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak berkata, ini supaya tiada kejadian yang tidak diingini berlaku pada banjir kali ini. 

“Keadaan banjir dijangka kembali pulih dalam tempoh beberapa hari lagi sekiranya taburan hujan di kawasan Ulu Limbang tidak banyak. 

“Setakat petang 23 Mei hanya 5 buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) saja dibuka di Daerah Limbang yang menempatkan mangsa-mangsa banjir di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Danau dan di DUN Bukit Kota belum ada lagi PPS dibuka,” katanya semasa ditemui selepas meninjau keadaan banjir di kawasan DUN Bukit Kota pada Isnin. 

Antara kampung yang dilawati ialah Kampung Lubok Piasau, Kampung Binjai dna Kampung Telahak. 

Dalam tinjauan itu, Datuk Dr Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota mendapati keadaan banjir di ketiga-tiga buah kampung masih terkawal dengan ketinggian paras air sekitar dua hingga tiga kaki di kawasan rendah. 

Kebanyakan rumah di ketiga-tiga buah kampung tersebut adalah jenis bertiang yang mana walaupun halaman mereka telah ditenggelami air tetapi kediaman mereka masih selamat diduduki.

Walau bagaimanapun Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Limbang akan sentiasa memantau ketinggian paras air dari semasa ke semasa untuk memastikan penduduk di kawasan tersebut tidak terdedah kepada risiko bahaya dan sentiasa berada dalam kaedaan yang selamat.

Beliau telah berkesempatan singgah melawat Balai Mini Pasukan Bomba Sukarela Bakti Gabungan 5 Buah Kampung di kampung tersebut. 

Turut hadir mengiringi ialah Penolong Penguasa Bomba Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Tujuh Limbang Azman Ibrahim. -EDISI UKAS

Share

add comment