Pejabat Daerah Saratok Anjur Majlis Serah Tapak Projek, Pantau Projek Bantuan Bencana

ISNIN, 24 MEI 2021

SARATOK: Pejabat Daerah Saratok telah menganjurkan satu majlis serah tapak tiga projek di bawah Lembaga Kumpulan Wang Kawasan Konsesi Hutan (LKWKKH) yang merupakan agensi di bawah Kementerian Perancangan Sumber Dan Alam Sekitar Sarawak.

Program diadakan pada Isnin itu turut dihadiri Residen Bahagian Betong, Friday Belik, Timbalannya, Abang Mohamed Abang Turkey dan Pegawai Daerah Saratok, Haron Hamidi di empat lokasi berbeza iaitu Rh Saban, Mapar, Kaki Wong, Krian, Saratok; SK Babang, Krian, Saratok; Rh Enjawan, Krangan Rusa Ulu, Krian, Saratok dan Rh Jemat, Nanga Malong, Krian, Saratok.

Tiga projek yang diserahkan kepada kontraktor adalah Membina Jambatan I-Beam Rh Saban, Mapar, Kaki Wong, Krian (RM714,945); Naiktaraf Jalan Perhubungan dari SK Babang ke Krangan Rusa, Krian (RM218,603) dan Naiktaraf Jalan Pangka ke Rh Enjawan, Krangan Rusa Ulu, Krian (RM434,598).

Pejabat Daerah Saratok kemudiannya meneruskan lawatan pemantauan projek di bawah Projek Bantuan Bencana iaitu membina benteng gabion untuk tanah runtuh di Rh Malong, Saratok, Sarawak dengan kos sebanyak RM125,075.

Friday dan rombongannya turut berkesempatan memantau perkembangan Projek Naiktaraf Jalan Kabo, Krian, Betong yang telah siap sepenuhnya meskipun sedikit terlewat dari jadual asal.

Dalam kenyataannya, Friday menggesa kerjasama erat di antara pihak kontraktor dengan JKKK.

Ujarnya, seperti yang dimaklumkan sebelum ini, projek di bawah LKWKKH tidak mempunyai peruntukan untuk pampasan tanah yang terlibat sekiranya ada tanah yang terjejas selain tapak sedia ada.

Beliau juga memohon pihak JKKK untuk memantau perkembangan pelaksanaan projek dan memaklumkan kepada pihak Pejabat Daerah Saratok sekiranya timbul sebarang permasalahan. – EDISI UKAS

Share
0