Penduduk Kota Samarahan Diminta Patuhi SOP Hari Gawai Dayak, Putuskan Rantaian COVID-19

ISNIN, 24 MEI 2021

SAMARAHAN: Penduduk di kawasan Parlimen Kota Samarahan diminta untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Hari Gawai Dayak yang telah ditetapkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS).

Ahli Parlimen Kota Samarahan, Rubiah Wang berkata, pematuhan kepada SOP merupakan sumbangan masyarakat dalam membantu petugas barisan hadapan untuk memutuskan rantaian wabak COVID-19.

Menurutnya, ini kerana wabak COVID-19 kini kembali aktif menular khususnya di Daerah Samarahan.

“Justeru, saya menyeru kepada semua yang telah mendapat temu janji untuk suntikan vaksin supaya hadir dan datang pada masa yang telah ditetapkan bagi menjayakan Program Imunisasi Kebangsaan COVID-19,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Taklimat Pemerkasaan Pencegahan COVID-19 Peringkat Daerah Samarahan 2021 di Dewan Linggai Kampung Entingan di sini pada Isnin.

Turut hadir bersama, Pegawai Daerah Samarahan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah Samarahan, Anuar Da’an, Sub Inspektor Ibu Pejabat Polis Daerah Samarahan, Togen Nyagam, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Daerah Samarahan, Alias Bujang, Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat Daerah Samarahan, Ebby Herwandy Sarbini dan Pegawai Jabatan Kesihatan Bahagian Samarahan, Rhodney Eleazer Diman.

Seramai 30 orang peserta melibatkan Ketua Kaum dan Ketua Masyarakat (KMKK) Daerah Samarahan telah hadir dalam taklimat berkenaan.

Antara intipati taklimat tersebut adalah berkenaan pengenalan Pemerkasaan Pencegahan COVID-19 (Pejabat Daerah Samarahan), Mengikuti SOP Menangani Penyakit Berjangkit COVID-19 (Jabatan Kesihatan Bahagian Samarahan), Keselamatan Dan Penguatkuasaan SOP (Ibu Pejabat Polis Daerah Samarahan), Pematuhan Perlaksanaan SOP (Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Daerah Samarahan) dan Bantuan Kecemasan Mengikut SOP Mengenai Penyakit Berjangkit (Balai Bomba Daerah Samarahan).

Objektif taklimat adalah bertujuan untuk memperkasakan pemimpin komuniti bagi memantau, menyelaras dan mengawal aktiviti di dalam kawasan kampung masing-masing, memberi kesedaran dan hebahan tentang bahayanya COVID-19.

Seterusnya, meningkatkan kepatuhan kepada SOP COVID-19 dan melaksanakan segala bentuk sekatan, peringatan atau tangkapan di bawah lingkungan undang-undang yang ada sepanjang tarikh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sempena perayaan sambutan Hari Gawai akan datang. -EDISI UKAS

Share
0