Polis Nafi Isu Penyalahgunaan Kuasa Di Miri

ISNIN, 24 MEI 2021

KUCHING: Wujud dakwaan penyalahgunaan kuasa pihak polis berhubung kompaun yang dikenakan kepada pemilik kedai makan dan pelanggan di Miri tanpa mengambilkira penjelasan mereka seperti yang disiarkan dalam akhbar tempatan baru-baru ini.

Merujuk kepada dakwaan tersebut yang menyatakan bahawa tiada pelanggan yang makan di situ, Pesuruhjaya Polis Sarawak, Dato Aidi Ismail dalam kenyataan media pada Ahad memberitahu adalah tidak benar kerana tindakan yang diambil adalah berdasarkan maklumat yang diterima dari orang awam

“Setibanya pasukan pemantau, didapati pekerja premis perniagaan sedang menyediakan makanan untuk pelanggan untuk dihidangkan kepada mereka (dine in).

“Walau bagaimanapun kehadiran pasukan pemantau disedari oleh beberapa pelanggan dan mereka telah bertindak melarikan diri

“Tindakan pemilik yang makan di meja berhampiran premis beliau mengundang pelanggan untuk duduk menjamu selera di premis berkenaan” katanya

Beliau menjelaskan semakan lanjut juga mendapati pemilik tersebut tidak mempunyai lesen dari Majlis Bandaraya Miri dan hanya mempunyai lesen perniagaan sahaja.

Justeru beliau meminta pemilik premis berkenaan untuk mengemukakan salinan CCTV penuh kepada pihak polis untuk membantu siasatan mengenai pelanggaran Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)

Jelas beliau tindakan yang dikenakan adalah berlandaskan undang-undang sedia ada dan mengingatkan orang awam untuk sentiasa mematuhi peraturan yang telah ditetapkan.-EDISI UKAS

Share

add comment