Sumbangan Bantuan Makanan Kepada Tiga Rumah Panjang Menjalani PKP

ISNIN, 24 MEI 2021

SIMANGGANG: Prihatin dengan penduduk rumah panjang yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti, Datuk Francis Harden Hollis menyumbang bantuan makanan kepada tiga buah rumah panjang yang terlibat di Simanggang baru-baru ini.

Menurut beliau, Pusat Khidmat DUN Simanggang bersimpati dengan kesukaran penduduk rumah panjang yang dikenakan perintah kuarantin bagi mengekang penularan COVID-19.

“Bantuan yang disalurkan adalah dengan menyediakan bekalan makanan kepada rumah panjang yang terjejas,” katanya.

Tiga buah rumah panjang tersebut adalah Rumah Suntie Sayup, Sebujok, Undop (32 keluarga), Rumah Rose Emma Stanley Gate, Temudok Atas (30 keluarga) dan Rumah Romeneo Tugang, Nanga Skrang Ulu (11 keluarga).

Bantuan makanan tersebut disampaikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bahagian Sri Aman dengan kerjasama Jabatan Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Sri Aman.

Datuk Francis yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang memberitahu, sejak pandemik COVID-19 memasuki komuniti di rumah panjang, ianya menyebabkan kes meningkat ekoran daripada kehidupan rumah panjang yang bergaul rapat di antara satu sama yang lain memudahkan jangkitan berlaku.

“Justeru saya menyeru rakyat agar mengambil serius dalam pematuhan SOP yang dikeluarkan kerajaan agar usaha untuk memerangi jangkitan COVID-19 berhasil dan rantaian jangkitan akan terputus,”katanya.

Beliau juga menasihatkan agar penduduk di situ mendaftarkan diri sebagai penerima vaksin COVID-19 dan pihak Ketua Masyarakat dan Ketua Kampung (KMKK) juga memainkan peranan untuk menggalakkan penduduk mendaftar sebagai penerima vaksin. –EDISI UKAS

Share

add comment