76 Ketua Isi Rumah Di Kampung Boyan Terima Bantuan Makanan

SELASA, 25 MEI 2021

KUCHING: Penduduk Kampung Boyan yang dikenakan Perintah Kawasan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) menerima bantuan makanan basah daripada Pusat Khidmat Pantai Damai.

Menurut Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan DBKU) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, sumbangan tersebut diagihkan kepada 76 Ketua Isi Rumah (KIR) bagi membantu penduduk yang dikenakan PKPD sejak dari 21 Mei dan akan berakhir 4 Jun 2021.

Beliau memberitahu, sumbangan itu juga merupakan tambahan daripada sumbangan yang telah diberikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan badan bukan kerajaan (NGO) yang telah menyerahkan sumbangan sebelum ini.

“Kita memberi makanan basah iaitu ayam, telur dan sayur untuk menambah bantuan yang diberikan oleh JKM dan beberapa NGO yang telah memberikan bantuan makanan asas kepada masyrakat Kampung Boyan sebelum ini.

“Kebanyakan makanan yang telah disampaikan adalah barang makanan keperluan dapur yang kering seperti beras, makanan dalam tin, mi, minyak dan sebagainya.

“Jadi hari ini kita menyampaikan makanan basah untuk  melengkapkan bahan makanan untuk masyarakat yang terlibat dalam PKPD ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan makanan kepada Pegawai JKM Sarawak, Hasri Mohd Rais yang mewakili penduduk terjejas pada Selasa.

Datuk Dr Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai berkata, beliau berharap PKPD Kampung Boyan berjalan dengan lancar dan penduduk terjejas yang terjejas dapat bersabar serta terus memberikan kerjasama sepanjang tempoh arahan tersebut.-EDISI UKAS