ADUN Muara Tuang Sumbang Bantuan Makanan Ehsan Kepada Penduduk Yang Dikuarantin

SELASA, 25 MEI 2021

SAMARAHAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang, Dato’ Idris Buang melalui petugas First Response Team Pusat Khidmat DUN Muara Tuang telah menghantar Bantuan Makanan Ehsan (BME) kepada penduduk kampung yang dikuarantin di beberapa kampung dan taman perumahan di kawasan berkenaan.

Antara penduduk kampung dan taman perumahan yang menerima penghantaran Bantuan Makanan Ehsan (BME) tersebut adalah Kampung Jaya Ria, Kampung Tian, Kampung Plaie, Kampung Endap, Kampung Meranek, Kampung Tanjung Bundong, Kampung Muara Tuang, Kampung Tian Sekawan dan Taman Desa Ilmu, Kota Samarahan.

Sumbangan tersebut diserahkan oleh Timbalan Ketua Marqas DUN Muara Tuang, Awang Nasihin Awang Samah kepada wakil penduduk di lapan buah kampung dan satu taman perumahan.

Penghantaran bantuan makanan itu dilaksanakan susulan arahan kuarantin terhadap keluarga yang mempunyai kontak rapat kepada kes positif di kawasan DUN Muara Tuang.

Penghantaran bantuan makanan akan diteruskan dan jumlah keseluruhan kampung yang dihantar adalah sebanyak 23 buah kampung.

Sementara itu, penduduk kampung merakamkan penghargaan terima kasih kepada Dato’ Idris Buang di atas keprihatinan beliau dalam membantu mengurangkan beban mereka dalam menghadapi wabak COVID-19 sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini. -EDISI UKAS

Share

add comment